Sunday 16 September 2012

Kertas Kerja Pembinaan Dataran dan Tempat Letak Kereta Masjid Pulau Pasir Mandi

Assalamualaikum,

Hari ini admin ingin membentangkan Kertas Kerja Cadangan Pembinaan Dataran dan Tempat Letak Kereta Masjid Pulau Pasir Mandi.



1.0       PENGENALAN


Masjid Kampung Pulau Pasir Mandi merupakan masjid yang telah lama dibina sejak pembukaan kampung ini lagi. Seiring dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi, Ahli Jawatankuasa Masjid dan penduduk Kampung Pulau Pasir Mandi telah berusaha untuk menaiktaraf bangunan dan infrastruktur masjid demi menjaga keselesaan penganut agama Islam dalam menunaikan ibadah. Sejak awal tahun 2011, beberapa perubahan telah dilakukan ke atas masjid seperti menambah kelas pengajian agama sehingga kepada membaiki bangunan masjid, tandas dan stor simpanan alatan masjid. Pada awal Ramadhan tahun 2012, peruntukan untuk menambah ruang koridor depan pintu masjid telah diluluskan oleh MUIP dan JAIP. Kerja kerja penyelenggaraan telah berjaya disiap sepenuhnya oleh kontraktor yang telah dilantik oleh JKR untuk digunakan sebelum Hari Raya Aidilfitri 2012.

            Sejak awal pembinaan masjid Kampung Pulau Pasir Mandi, ruangan untuk masuk ke perkarangan masjid agak terhad bagi kenderaan seperti kereta. Jemaah yang datang menaiki kereta akan meletakkan kereta di bahu jalan utama kampung. Ini menimbulkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu solat Hari Raya dan solat Jumaat. Oleh yang demikian, pemilik tanah di hadapan masjid telah berbesar hati untuk mewakafkan tanah mereka bagi tujuan pembinaan tapak letak kereta.

2.0       SUMBANGAN KEWANGAN

Pihak masjid telah mengeluarkan wang beberapa ribu ringgit bagi meratakan tanah wakaf sejurus sahaja mendapat kebenaran daripada pemilik tanah bagi tujuan untuk digunakan pada Hari Raya Aidilfitri 2012. Namun demikian, kewangan masjid tidak dapat menampung kos bagi meletakkan tar di kawasan yang diwakafkan tersebut. Oleh demikian, pihak Masjid Pulau Pasir Mandi memerlukan sumbangan daripada jabatan berkenaan mahupun juga orang perseorangan untuk membantu menjayakan projek pembinaan tapak letak kereta di hadapan masjid ini. Berikut merupakan gambar persekitaran perkarangan Masjid Pulau Pasir Mandi.

3.0       GAMBAR PERSEKITARAN MASJID

Gambar 1 : Pandangan Masjid dari Jalan Utama Kampung Pulau Pasir Mandi

Tanah merah dalam gambar di atas merupakan tanah yang telah diwakafkan. Pada asalnya terdapat tiga buah bekas kolam ikan. Pihak Masjid telah mengeluarkan bajet sebanyak lebih RM5000.00 untuk menutup kolam ikan tersebut. Kawasan tanah merah ini akan dijadikan  dataran masjid dan tapak letak kereta setelah mendapat peruntukan untuk meletakkan tar. Sekiranya, tapak ini tidak di tarkan, maka ianya tidak boleh digunakan, terutama pada waktu hujan. 



Gambar 2 : Jalan masuk yang lama ke masjid

Jalan masuk ke masjid perlu diperbesarkan bagi keselesaan pengguna. 



Gambar 3 : Laluan sehala dari arah belakang masjid

Pihak Masjid Pulau Pasir Mandi juga menyediakan laluan sehala dari arah belakang masjid. Laluan ini bersambung dengan tapak letak kereta dan terus ke jalan utama kampung.




Gambar 4 : Pandangan dari sisi depan masjid

Kawasan tanah merah yang perlu ditar berhampiran dengan depan masjid.



Gambar 5 : Pandangan dari belakang masjid

Laluan belakang masjid yang dihubungkan terus dengan tapak letak kereta




Gambar 6 : Pandangan dari depan pintu masjid

Gambar 6 di atas menunjukkan pandangan hadapan masjid ke jalan utama Kampung Pulau Pasir Mandi.


4.0       KESIMPULAN

Masjid Pulau Pasir Mandi sedang cuba sedaya upaya untuk menarik lebih ramai lagi pengguna untuk datang melakukan ibadah di masjid ini. Oleh yang demikian, pembinaan tapak letak kereta ini merupakan salah satu infrastruktur yang penting bagi kemudahan orang ramai dalam menunaikan ibadah mereka. Selain menggunakan pendapatan masjid untuk mengumpul kos perbelanjaan membina tapak letak kereta ini, di harapkanlah sekiranya ada dermawan yang sudi menyumbang bagi meningkatkan lagi semangat perjuangan Islam. InshaAllah.






Sunday 9 September 2012

Transformasi Masjid Pulau Pasir Mandi

Assalamualaikum

Seiring dengan kemajuan masyarakat dan masjid daripada tempat lain. Penduduk Kg. Pulau Pasir Mandi sedang berusaha melakukan transformasi Masjid Pulau Pasir Mandi bagi kemudahan dan keselesaan orang kampung dan orang ramai.

Sehubungan itu, Ahli Jawatan Kuasa Masjid Pulau Pasir Mandi bertungkus lumus membuat kertas kerja bagi mencari kos pembinaan dan pembaik pulihan bangunan masjid. Alhamdulillah, dengan bantuan sumbangan orang ramai dan Kerajaan Malaysia, Masjid Pulau Pasir Mandi berubah sedikit demi sedikit.

Berikut merupakan gambar terkini persekitaran masjid.


Pandangan dari jalan raya utama Kg Pulau Pasir Mandi


Kawasan Tapak Letak Kereta


Terima kasih kepada beberapa orang hamba Allah yang sudi berbesar hati untuk mewakafkan tanah mereka di hadapan masjid bagi kawasan tapak letak kereta. Dengan adanya kemudahan tapak letak kereta ini, ianya sangat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu solat jumaat dan musim perayaan. Semoga Allah S.W.T memberi kebaikan kepada anda semua.

Pintu Masuk Utama yang lama

InsyaAllah, jika bajet mencukupi, jalan utama masuk ke Masjid akan diperbaiki

Penambahan ruang koridor

Ruang koridor yang terletak dihadapan ini masih dalam pembinaan. Laluan untuk golongan O.K.U juga turut disediakan.

Diharapkan dengan transformasi bangunan Masjid Pulau Pasir Mandi ini akan merapatkan lagi hubungan penduduk kampung dan orang luar khususnya umat Islam.

Beberapa pelan perancangan masjid akan dipostkan pada masa akan datang. Segala pandangan berhemah atau idea yang bernas amat dialu-alukan


Berkhidmat untuk Agama, Bangsa dan Negara

Admin Blog

Friday 7 September 2012

Selamat Datang ke Laman Masjid Pulau Pasir Mandi

Assalamualaikum

Seiring dengan perkembangan teknologi maklumat, kami bagi pihak Masjid Kariah Pulau Pasir Mandi (KPPM) merasakan amat perlu untuk mempunyai laman blog.

Tujuan laman blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi pengalaman kami dalam menjayakan aktiviti masjid, disamping mengemukakan idea-idea bagi memajukan lagi taraf masjid kami dan sekali gus menarik lebih ramai lagi orang datang ke masjid KPPM.

Selain daripada itu, laman blog ini merupakan satu inisiatif untuk melaporkan aktiviti masjid kepada Jabatan Agama Islam Pahang.

Kami ingin memohon maaf terlebih dahulu sekiranya kami ada tersilap kata atau terkasar bahasa dalam penulisan kami. Diharapkan agar para pembaca dapat menegur dengan cara yang berhemah.

Sebarang cadangan yang membina untuk menaikkan taraf masjid dan meningkatkan lagi ukhwah dikalangan umat Islam amat dialu-alukan.

Terima Kasih

Berkhidmat Untuk Agama, Bangsa dan Negara